Tuesday, December 24, 2013

Mengajar anakanda mengenal binatang

Ding dong..

Selasa lepas punya kisah. Baik update sebelum banyak lagi event lain masuk sampai entry ni tertinggal kapal terbang. Kalau tangguh, konfem terbiar dalam draft sampai akhirnya aku delete je terus dari list kan.
Dengan selambernya Selasa lepas bawak Hanan ke Zoo Negara dah tengahari buta. Pukul 12 baru terhegeh2 nak bersiap keluar. Tapi nasib baik memang kami laki bini jenis bersiap sepantas kilat. Dalam masa setengah jam dah boleh settle bersiap nak keluar rumah. Sebelum keluar pun, tak decide habis lagi nak pegi zoo. Aku punya syarat, kalau dapat parking depan pintu masuk, baru on. 

Kalau tak, bie cadang nak ke Midvalley je. Tapi dalam hati aku memang dah berharap sangat dapat masuk zoo. Lama dah tertangguh2. Kesian Hanan asyik kena ikut masuk shopping mall je, bukan ada apa yang seronok pun untuk dia. Melainkan kalau dibawak ke playland ke apa dalam shopping mall tu kan, memang konfem terlonjak2 dia.

Nasib menyebelahi, dapat parking betul2 depan pintu masuk. Orang pun mungkin tak ramai sangat tengah2 minggu kan. Yang ada pun mungkin jenis yang bawak anak2 berjalan waktu cuti sekolah. Lagipun mungkin jugak mana2 yang datang sebelah pagi dah balik. Kira yang tinggal memang jenis macam aku, yang keluar rumah lambat. Jadi, masuk ke zoo dengan gembira.

Tiket naik harga lagi! Last aku datang sini dulu tahun 2011, masa tu tiket RM20 untuk dewasa kalau tak silap. Ini dah naik jadi RM30 untuk dewasa, bawah 3 tahun free. Atas 3 tahun aku tak ingat, sila la refer kat website ye. Tapi masuk tetap masuk, bayar jela baper pun harga tiketnya.

Masuk2 je terus pegi tengok gajah. Sebab ini antara binatang yang Hanan dah kenal, tengok gambar & tengok tv jela. Kali ni kasi dia tengok yang real punya. Seronok kemain si tecik tu, sampai muncung2 dia punya la nak ikut panjang belalai gajah tu. Siap pandai pegi cari port sendiri nak bagi nampak view yang dia suka agaknya. Suka hati awak la anak, ibu ikut jela montot awak tu mana nak pegi.

Muncung tu yang mahal!

Lepas tu tengok binatang2 lain yang kecik2, dia macam tak amaze sangat. Dia buat gaya macam nampak kucing je. Tapi nampak gaya anak aku ni memang tak takut binatang kot, selamber dia je hulur2 tangan. Jangan hulur kat rimau dah la ye. Nasib baik rimau tu jauh dalam tu, kalau dekat memang pengsan aku nampak anak aku hulur2 tangan camtu. Haisy!


Tapi silap sebab keluar waktu Hanan selalu tido. Dia dah memang mengantuk sangat masa baru2 sampai tu. Tapi ditahan mata agaknya sebab nampak binatang besar2 macam gajah ngan zirafah tu. Bila masuk bab binatang2 kecik, dia macam bo layan je. Last sekali dia tahan sampai kat animal show. Tu pun masa orang tu buat show, dia bantai buat show sendiri. Lari sana lari sini, turun naik tangga, kacau2 orang. Tu petanda dia dah tak minat la tu, dah ngantuk sangat. 



Keluar je dari animal show tu, terus cari port nak lepak2. Hanan dapat 'candu' dia, terus selamat lena. Dapat la aku ngan bie nak rehat sekali sementara tunggu dia betul2 lena. Memang betul punya lena sampai angkat masuk stroller pun dia pejam tak gerak2. Jalan sana sini siap dengan kena matahari, kena gigit nyamuk bagai, tetap jugak lena. Lesson untuk lepas ni kalau rasa nak pegi zoo lagi, kena tampal ubat nyamuk, sapu minyak zaitun sekali kat kaki ngan tangan. Abis bintat2 Hanan kena gigit nyamuk dalam tu.

Lebih kurang kul 5, abis dah pusing satu zoo tu. Kiranya Hanan dapat tengok lebih kurang 30% jela daripada keseluruhan. Sebab dia tido boleh tahan lama jugak. Ibu & abah jela yang jalan2 tengok binatang sebenarnya. Tambah pulak Zoo Negara sekarang tengah proses renovation, so ada certain tempat dia still tutup. Jadi kalau nak pegi Zoo Negara, better tunggu lagi dalam setahun ke. Sebab nampak gaya macam major jugak renovationnya.


Malam tu kitorang terus siap2 balik Semenyih. Sebab katanya KL takde air seminggu. Tah ye tah tidak rumah aku kena, aku tak tau la kan. Tapi aku balik jela, malas nak menghadap in case betul2 takde air. Maka, berkampung la aku selama dekat2 seminggu kat Semenyih. Sempat aku berurut badan 3 hari berturut2. Lega! Hilang terus sengal yang lama dan yang baru dapat daripada aktiviti riadah-lah-sangat kat hari tu.

Gambar terakhir dapat snap sebelum kamera mampuih
Suka sangat berjalan dengan kamera tak charge battery.. 

Sekian. Esok nak pegi Melaka woi! Trip layan ikan bakar tempat biasa dengan geng2 yang sama seperti selalu. Sotong goreng tepung, mu tunggu aku datang!!

Nota kaki lapan: Insya Allah, Hanan besar sket nanti bawak pegi zoo lagi. Bagi dia enjoy sepenuhnya tengok binatang2 dalam tu..

Till my next post.. Bye bye bye..




 

-END-

Thursday, December 12, 2013

Happy Birthday my dearest!

Ding dong..

Sepatutnya entry ni keluar hari Isnin lepas. Tapi dek kekangan masa dan keadaan yang tak mengizinkan, maka tersimpan la dalam draft selama berhari-hari. Sori my sayang, bukan lupa tapi tak sempat. Kadang2 kalau ada masa terluang pun, dah ada keje lain menanti mintak dibereskan. Makanya entry ni tersangkut2 separuh jalan.

9 Disember 2013, birthday si dia yang ke 31. Tahun ni takde buat apa2, hadiah pun tak beli. Cuma sempat sediakan kad ucapan je. Itupun, secara jujurnya kad tu sepatutnya tahun lepas punya. Tapi sebab dah missed bagi tahun lepas, jadinya simpan sampai ke tahun ni. Giler cheapskate betul la. Tapi yang pasti, aku tak penah lupa walaupun sekali nak wish kat dia. 

Cumanya tu la, tak dapat la nak beli2 hadiah macam dulu. Sejak dah duduk rumah ni, income pun takde. Masih tercari2 apa nak dibuat untuk tambah income supaya tak mengharapkan dia sorang je yang bekerja makan gaji tiap2 bulan. Sori ye sayang, takde bajet la nak beli hadiah. Nak beli kek 1 slice pun tak sempat sebab nak keluar petang2 skang ni asik hujan je. Hadiah diganti dengan masakan jela. Tu pun mampu masak simple2 je, tak reti pun nak grand2 sangat. Dapat la buat pizza petang Isnin tu, baru2 nak belajar. Rasa pun so-so jela.

Semalam sempat singgah ke One Utama lepas balik melawat kawan yang baru lepas keguguran. Dari hari Isnin bie ajak makan kat luar, asik tertunda je. Sebab aku dah masak la, sebab aku malas la, sebab Hanan tengah makan nak menunggu dia abis makan nanti lambat la dan macam2 alasan. So, semalam ajak bie singgah One Utama tu memang bertujuan nak ajak dia dinner sekeluarga kat luar. Keluarga kami je, 3 kerat ni.

Jarang2 dapat gambar bertiga..

Bie macam dapat baca apa yang aku pikir. Dalam banyak2 tempat makan dalam OU tu, dia ajak makan kat Dave's Deli. Memang aku teringin nak ajak ke situ pun. Lama dah tak makan mashed potato sedap tu. Tapi semalam macam ada kureng sket rasa dia. Ke sebab aku dah makan yang lagi sedap dibuat sendiri oleh kakak ipar aku? Mungkin jugak kot, lidah dan upgrade standard rasa untuk mashed potato.

Haih, tengah lapar ni tengok gambar makanan. Parah rasanya!

Macam mana pun, tetap happy dapat makan luar sefamily. Walaupun Hanan buat peel dia sepanjang masa kat OU tu. Budak tak cukup tido, paham2 jela camne dia punya perangai. Abis semua ride yang masuk syiling dalam OU tu dia nak naik aku rasa. Masalahnya semua nak kena pakai syiling, mana nak korek? Kalau pakai duit kertas gagah jugak lagi nak layan.

Natang ni kalau nampak, semua dia nak naik!

Untuk suami tersayang, semoga pertambahan umur akan menambahkan lagi kematangan, kesihatan dan semoga ekonomi keluarga kita bertambah baik untuk tahun2 mendatang. Sebenarnya kesian jugak tengok bie struggle sorang2 nak cukupkan keperluan keluarga ni. I'll do my best to support you dengan apa cara sekalipun yang termampu.

Bie, jom kita pegi makan kek malam ni!

Nota kaki lapan: Bulan depan turn saya pulak! :-)


Monday, November 11, 2013

Selamat Hari Lahir Mak & Abah!!

Ding dong..

Ada sesuatu yang sangat unik yang aku rasa kebetulan antara aku dengan incek suami. Sesuatu yang masa mula2 kenal dulu memang tak perasan ataupun tak tau Tapi bila dah lama2 kenal baru la sedar betapa takdir jodoh kami memang dah ditulis cantik2 olehNya.

Pertama no IC kami yang 4 digit belakang tu. Berbeza cuma satu digit (memang tak boleh sama la sebab digit tu membezakan jantina). XXX0 dan XXX1. Ni perasan lepas dah 2-3 tahun kenal. Logik la dah lama kenal baru perasan kan. Takkan la baru2 kenal ko nak selidik sampai ke no IC? Hehehe. Tapi zaman sekarang bagus jugak selidik, takut2 terkena "mat foreigner" mengaku orang Malaysia. Guna IC palsu, naya!

Kedua, kaitan antara mak ayah & mummy abah. Umur mak sebaya dengan mummy, umur ayah sebaya dengan abah. Tarikh lahir ayah 29 September, mummy pulak 1 September. Tarikh lahir mak 10 November manakala abah 9 November. Mudahkan aku nak ingat tarikh lahir parents aku dua2 side.. :)

Makanya, weekend baru2 ni double celebration la kami. Sabtu malam dinner dengan keluarga mertua, Ahad minum petang dengan family aku. Dua2 pun ala kadar je celebration, takde party2 ke apa pun. Cuma ahli keluarga je yang terlibat. Side mertua aku takde kek2 pun, makan je kat kedai.

Dinner ini ditaja oleh adik bongsu yang baru dapat gaji pertama. Alhamdulillah, semoga berkat rezeki yang dikongsi dengan keluarga. Terima kasih poksu yang hensem. Dia tak baca blog aku ni, so takpe tulis camni pun dia tak tau. Kalau dia tau aku cakap dia hensem, kembang!

 Dua ahli lagi tersorok dari capaian lensa kamera.
Akak kameraman malas nak bangun.. :P

Makanan 3 beranak. Yang lain aku tak kuasa nak kacau.

Makan kat Restoran Patatimo Wangsa Link, Wangsa Maju. Aku makan nasi kerabu memandangkan kedainya konsep makanan Kelantan. Yang iyenya memang dah lama tak makan nasi kerabu, teringin. Menu ada banyak, macam konsep kedai tomyam biasa la jugak. Tapi aku tak belek, malas sebab memang dah set dari rumah nak makan nasi kerabu. Takut nanti dah rambang, terus tukar niat.

Minum petang untuk birthday mak pulak buat kat rumah je. Semuanya home-cooked oleh chef2 terhebat. Aku ni bertuah dilahirkan di samping chef2 hebat. Dapat pulak ipar duai pun kaki dapur. Memang makin buncit la hari ke hari. Hehehe.

Mak & ayah bersama cucu2 yang ada setakat ini.
Semua di dalam gambar itu sedap2 belaka.

Akak aku buat sup urat keting, makan dengan bihun. Kek coklat moist ditaja oleh kakak ipar aku, kak Gee. Adik ipar aku bawak dadih milo (terlupa nak rasa, huhuhu). Yang bujang2 sponsor fries & cocktail. Tuan rumah pun sempat lagi buat cucur makan dengan kuah kacang, mak aku ler sape lagi. Aku? Aku bawak bihun je 2 peket. Jadi la dari takde, ahahahaha. Kebetulan semalam tak berapa sihat, kepala nyut2 dari bangkit tido. Memang tak larat nak buat apa sangat.

Tapi dalam tak larat, sempat gak aku ubah meja makan & sofa tengah hari tu sebelum keluar. Tu yang lepas tu rasa nak pitam sepanjang jalan dalam kete. Membawak ke malam denyutnya. Last2 sampai rumah balik malam tadi, terus padam!

Nota kaki lapan: Perkara wajib setiap kali hujung minggu kat famili belah Semenyih, camne lewat sekalipun mesti lepak rumah Atok. Perkhabaran yang baru diterima semalam, rumah atok nak renovate! Gonna missed my childhood memories yang bakal hilang. Sob sob sob (T_T) ...

Till my next post.. Bye bye bye..

 

-END-

Friday, November 08, 2013

Sesekali..

Ding dong..

Lama sungguh senyapkan diri. Bila tengok post akhir, bulan April. Mak aih, betul punya berehat dari dunia blogging. Malas pun ye jugak sebenarnya tu, malas nak menaip. Nak update dari Tab pun malas jugak, tah apa benda setting tak betul, manjang tak jadi. Fedup ler makcik nak melayan haih.

Dek kerana kesenyapan yang lama ini, makanya banyak la benda2 basi kononnya nak dicoretkan, tapi tu pun tengok la kalau mood nak mengarang tu datang. Insya Allah, ada la nanti kot se-post dua. Cerita cuti2 ke, jalan2 makan2 ke. Lama dah kan tak melambakkan gambar2 makanan kat dalam ni. Padahal setiap kali ke mana2, kemain la keluar kamera snap itu ini. Tapi entrynya, non hado!

My little girl, dah menginjak ke alam toddler. 
Wajah baby2 pun dah semakin pudar. 

Akalnya, jangan tanya la. Seiring la dengan umur dia yang makin bertambah. Ada masa aku layankan je bila dia mula buat perangai. Ada masa, datang gak singa dalam diri yang tersimpan rapi ni. Tapi, Insya Allah tak sampai tahap yang teruk2 la. Nak marah2 sangat pun, dia kecik lagi. Tak paham pun kalau benda yang dia buat tu salah ke betul. Ini cabaran mendidik anak yang semua parent akan lalu. Aku tak terkecuali la kan. Harap aku akan selalu sabar menghadap dia 24 jam sehari.

Lagipun bukannya sepanjang masa dia buat perangai. Kalau dibandingkan, dia lagi banyak buat hati aku senang dari sebaliknya. Hanan ni walau masih muda usianya, tapi kadang2 ada jugak tingkah laku dia yang menunjukkan dia paham situasi. Bila ibu marah, dia akan nangis sambil lari peluk kaki ibu. Kalau masa tu tengah duduk, dia akan datang gomol muka ibu sampai aku sesak nafas! Punya la dia tak bagi aku marah. Selalunya, memang tak jadi marah. Gelak lagi ada la.

Alahai anak, apa la sangat marah ibu ni. Kang awak tido, ibu pulak yang nangis sebab nyesal dah terlebih marah, kadang2 la. Biasala, kadang2 stress jugak bila dia buat perangai tak kena masa. Contohnya, masa kita tengah masak tu la dia ajak teman tengok upin ipin dengan dia. Ni minyak panas bukan main seronok lagi dok melantun2 dari kuali, dia pulak dok keluar masuk dapur nak tarik kita ke depan. Mau aku tak stress? Istighfar jela selalunya, jangan diikutkan hasutan syaitan wahai ibu abah sekalian. Itu cara diorang mintak perhatian kita. Biasa la.

Ha, lelaki ini pulak tak lain tak bukan, kekasih hati beta. 

Yang sekarang ni teramat la busy. 70% masa dia sekarang untuk keje. 30% je untuk kami berdua kat rumah ni. Kadang2 baki yang ada tu pun kena ambik jugak. Weekend keje, cutu umum keje, kat rumah pun kadang2 dia kena layankan keje dia. Sedih jugak sebab tak biasa kan. Kadang2 boleh sampai makan hati berulam jantung bila mikirkan. Tapi nak buat camne, tugas dia sekarang memerlukan dia dalam keadaan macam tu. Nak tak nak, sebagai isteri kena cuba faham. Aku tau, dia pun sedaya upaya nak bahagikan masa untuk famili sebaik mungkin. 

Which is aku sebagai isteri kena appreciate. But, sebagai manusia biasa kadang2 aku mudah sangat meletop. So ada jugak la masanya aku macam tiba2 tak paham. I mean, tiba2. Padahal bendanya takde apa sangat pun. Biasa la, manusia mudah lupa. Hehehe. Kena kuatkan hati lepas ni, tak boleh ikut sangat rasa bengang yang kadang2 datang tu. Tanam dalam hati, sikit je lagi. Lepas ni semua will be back to normal. Finger crossed!

Kena selalu ingatkan diri, dia suami terbaik yang aku ada. Kena hargai semua usaha dia untuk aku selama ni. Aku rasa takde orang lain yang mampu sabar dengan aku macam mana dia. Sebab tu orang kata, jodoh kita ni dah Allah tentukan cantik2, cun2, ngam2 untuk kita. Kalau ada kurang sikit2 kat mana2 tu, adjust la bagi cantik relationship tu. Insya Allah, aman. Aku la tu, kena selalu ingatkan diri sendiri, kena banyak muhasabah. Moga suami saya ini sabar dengan kerenah saya. 

Incek suami sudah janji, lepas settle semua nak bawak kami jalan2 cuti2. Hopefully sebelum birthday dia bulan 12 nanti sempat la. Kesian tengokkan dia yang keje ngalahkan minah kilang. Aku dulu penah rasa keje kilang 12 jam tiap2 hari selama sebulan. Takde cuti! Memang stress wa cakap lu. Tapi bila gaji masuk, hilang terus stress. Hehehe.

Till my next post.. Bye bye bye..



-END-

Saturday, April 27, 2013

All about my little HZ..

Ding dong..

Jarang2 rasanya aku menulis pasal dia. Sungguh pun sebenarnya hari2 ada saja cerita pasal dia yang bersilih ganti kisahnya. Lepas satu, satu benda rasanya boleh dicerita. Tapi sengaja aku diamkan. Ada masanya, aku rasa biarlah aku simpan sorang2 kisah si dia ini. Saja, rasa kedekut nak kongsi pada dunia tentang dia. Siapa dia little HZ ni? Siapa lagi kalau bukan Hanan Zulaikha uchuk nomey acham2 ibu tu. Hehehe.


Dah setahun satu bulan. Lebih 12 bulan, lebih 365 hari umurnya. Tapi, entry pasal dia tak sampai pun 20 kot. Kalau orang lain tu, agaknya dah macam2 cerita keluar kan. Tambah2 dengan posisi dia sebagai anak yang pertama, my first little angle. Tetap, cerita dia aku simpan2 jugak takmo heboh pada orang luar lebih2. Walaupun dengan kemudahan internet, laptop & TAB yang bie dah sediakan, still entry pasal dia sangat la sikit. 

Bukan apa, ibu memang jenis save lebih2. Saja je nak kedekut cerita. *senyum kambing busuk*

Alhamdulillah, setakat entry ini, Hanan dah mula bertateh. Dari depan ke dapur pun dia dah berani melangkah dengan kedek2nya tu. Takde la segagah mana lagi, masih dalam peringkat cuba2. Yang penting, dia dah ada self confident nak jalan sendiri. Syabas betheh!

Last week dia demam, berulang2 demamnya. Elok2 dia baik demam, dia start prektis jalan. Hari2! Sebelum ni bukan la dia tak penah prektis, pernah. Tapi dengan paksaan. Hahaha. Biasanya aku saja biarkan dia berdiri pastu lari jauh dari dia supaya dia kejar. Dapat la 2-3 tapak sebelum dia jatuh atau sendiri duduk. Sejak dari dia masuk 11 bulan hari tu lagi.

Minggu ni, genap setahun sebulan, akhirnya dia berani jugak nak bangun sendiri, melangkah sendiri. Slow & steady. Takde la macam sebelum ni yang asyik nak cepat sampai kat next point. Tak berani berjalan lama punya pasal. Yayang, yayang. Makin besar dah kamu! Rasa macam baru lagi ibu pantang sorang2 kat rumah ni hari tu. Esok lusa tau2 je dah mula berlari agaknya. Hehehe.

Bab bercakap, so far yang boleh dengar bijik butir yang clear pada telinga aku ialah: 'abah, abu (ibu), tup (tutup), kak (bukak), nak, bak, meh, nyen (nenen), mamam, nyet (monyet), tak (cak)'. Yang lain tu lagi banyak merapu je, sebutir habuk aku tak tau apa benda. Tapi mulut dia memang tak reti diam punya. Paling takde membebel pun, dia bantai menjerit2 sorang2. Aku ingat apa benda, rupanya tengah main sorang2. Ceh!


Sekarang dah ada satu lagi tambahan, anak aku minat bola weh!!! Pantang pasang bola kat tv, dia terus terpekik2 jerit. 'Gal!!! (gol)'. Padahal orang tu tengah dok sepak dari atas, tak sampai depan pintu gol pun lagi. Dia manjang la gol sesaja. Bahana setiap kali balik Semenyih tengok pak2 sedara dia main PS3 game bola, pastu usu belah abah dia boleh bawak dia layan bola depan tv sambil jerit. Dah anak aku terikut sekali minat bola. 

Tapi takpe, sok dah besar boleh teman ibu layan bola sebab abah selalu layan 10 minit je, pastu tau2 dah berdengkur. Huhuhu.

Pasal makan minum dia. So far masih cuba kekalkan homemade food. Garam, gula masih belum mula. Tapi biskut aku beli Farley Rusk je. Minggu lepas pun sesat jugak sekeping biskut tiger sebab masa tu kat rumah wan dia orang semua dok layan kacang, dia ngendeng nak jugak. Biskut dia tak bawak, menggagau aku ke dapur cari apa yang boleh dibagi. Takut kalau biar kang wan atau atok dia kesian tengok dia merengek, sumbat je kacang tu. Haih, naya je.

Maklumlah, cucu nan seaorang. Buah hati pengarang jantung kot. Biasa la tu kan. Kena paham la situasi2 macam tu. Macam tadi pun, lepak rumah wan dia. Tau2 dah ada biskut tiger tu kat tangan. Tengah krup krap baik punya kunyah. Padahal aku bawak je biskut Hanan. Takpela, kira pejam mata jela. Setakat sekali dua tu, boleh pejam mata. Takkan aku nak rampas dari tangan anak yang tengah makan kan. Hati orang tua kita kena jaga juga.

Well, that's all for now. Nanti la kalau ada benda rasa2 interesting nak cerita, aku mengarang lagi. Nak join anak dara beradu. Dia dari pukul 10:30 tadi dah selamat landing. Kena kuasa 'nyen', memang dia kalah punya la. Walaupun petang tadi dia dah bantai tido dari pukul 2 sampai pukul 6. Malam memang cukup time dia dah start nyanyi nak 'nyennnnnnnn' sambil gosok mata.

Sekian.



Friday, April 26, 2013

Writer's block

Ding dong..

Hah, nak start menulis ni pun macam dah ada batu block depan mata. Betul2 punya block ni. Mari ambik angin sat kat balkoni time2 hujan. Kot2 ilham datang..

*Pause*

Writer's block adalah perkara yang biasa berlaku kepada golongan yang dikenali sebagai penulis. Tak kira la penulis novel ke, cerpen ke, berita suratkhabar ke, majalah ke mahupun penulis blog. Obviously, aku akan citer pasal penulis blog la kan. Walaupun aku bukanlah tergolong dalam golongan kumpulan penulis blog tegar yang menulis segala jadah benda kehidupan dia dalam blog, tapi aku tetap terkena tempias sindrom writer's block ini.

Sesungguhnya, bidang penulisan bukanlah benda yang baru pada aku sebenarnya. Bahkan aku dulu penah ada cita2 nak jadi penulis. Aku pernah je masuk kem2 penulisan zaman sekolah aku dulu. Masa tu, memang semangat sangat nak teruskan cita2 nak jadi penulis. Mana taknya, antara panel yang penah jadi penasihat masa aku sertai kem dulu terdiri dari golongan penulis yang bertaraf sasterawan negara.

Tapi, sayang seribu kali sayang. Bila abis sekolah, aku macam terlupa pulak dengan cita2 aku yang satu ni. Tambah pulak result SPM aku takde la power mana, jadi bila sambung belajar pun aci redah je aku ambik bidang IT. Nasib baik bidang tu memberi ilmu yang berguna untuk aku. Sempat jugak la aku praktik-guna beberapa tahun sebelum aku akhirnya ambik keputusan berhenti dan jadi SAHM. But still, ilmu yang aku pelajari dulu masih relevan walau aku hanya duduk rumah. Atleast aku tau la beza thumbdrive 1gb & 1tb mana lebih besar kapasitinya. Hehehe..

Oh, terpanjang pulak mukadimah. Nampak tak bakat menulis semulajadi aku di situ. Hahaha.

Oklah, apa yang aku nak tulis ni cuma berdasarkan pemahaman dan pendapat aku sendiri la. Aku memang takde buat research ke apa benda. Sebab aku ni memang semedang ada sindrom writer's block. Tu pasal la blog ni kadang2 3-4 bulan sekali baru update. Ok, ni antara point yang aku ada berdasarkan diri aku sendiri, takde kena mengena dengan orang lain. Kalau ada kena, tu maknanya kebetulan semata2.

Malas
Ini adalah masalah biasa bagi aku. Kadang aku dah semangat ni ambik2 gambar, rangka2 dalam kepala nak bubuh apa dalam entry. Alih2, bila aku ada masa senggang perangai malas datang. Macam angin nak mengadap blog tu takde. Membaca blog orang tu rajin, tapi nak menulis tu alahai, berat. Sudahnya entry terkepam dalam kepala sampai la dah basi. Tu belum citer yang dalam draft halfway menulis tak publish2 sebab malas upload gambar!!! Watdehey @*#!(

Privacy
Yang ini pun selalu jugak menjadi concern utama. Ada masanya, setengah2 entry tu aku rasa macam terlalu privacy untuk aku kongsi dalam blog. Dah puas aku taip2, olah2. Tapi penyudahnya aku tekan cancel terus. Sebab ada certain2 cerita, aku rasa lebih baik disimpan daripada diceritakan. Sebab takut kalau diceritakan sangat, boleh mendatangkan bahaya. 

Yelah, dunia internet ni terlalu luas. Takde sempadan. Kita tak tau siapa yang memerhatikan kita tanpa kita sedar. So, baik berhati2 sebelum terlambat.

Malu / segan / silu
Ni kenyataan ni, bukan cubaan. Ada sesetengah cerita pada aku takde la sebest mana pun nak share. Ada setengah pulak aku rasa macam kalau share tu dah jatuh macam riak, takbur nak menunjuk2 pulak. Kadang2 tu kita ni tak berniat pun, tapi secara tak sedar kita yang syok menaip ni dah terlebih2 bercerita sampai orang naik meluat. Pastu orang tu duk mengutuk2 kita tak pasal2 dia dapat dosa, kesian dia. 

Jadi, baik takyah. Ye, aku ni kadang2 berlebih imaginasi sangat. Sampai boleh bayangkan orang kutuk2 sebab aku beli kete baru yang tak baru, contoh la.. 

Kekangan Masa
Selalu berlaku masa aku keje dulu la. Kadang2 tu nak sangat update, bahan2 semua dah ready dah. Gambar2 dah edit cantik2. Tapi sebab keje melambak2 nak hadap, tak dan nak menyambil update entry. Dah tu bila dah balik rumah, sibuk dengan hal kat rumah pulak. Sampai masa senggang, badan dah penat otak pulak dah tepu. Maka tiadalah entry itu terlahir sudahnya. Biasa sangat jadi dulu ni. 

Tapi sekarang dah duduk rumah, ada jugak masa2nya benda ni berlaku kat aku. Sungguh pun anak aku baru sorang, ingat sentiasa aku ada masa nak ngadap menaip2 ni. Bantai dia taknak tido, dia main tido 10 minit bangun, 10 minit bangun. Mana datang masanya. Lagi pulak kadang2 masa dia tido tu la aku nak lipat kain baju, mengemas, mengemop, memasak segala. Jadi, sama jela ceritanya. Malam2 hari aku ni malas sket nak menaip, sebab time2 tu la aku nak layan suami, layan tv. Apa ingat duduk rumah je takde keje?

Dan lain-lain lagi

Familiar tak dengan point yang last tu? Selalu digunakan masa jawab exam dulu yang menunjukkan kononnya ko ada banyak point nak cerita. Padahal yang sebenarnya ko dah takde idea nak letak apa. Tapi taknak la nampak macam sengkek sangat point yang ko dah letak, makanya tunjuk macam 'aku ada lagi point lain, saja taknak letak'.

Oklah, itu antaranya. Tujuan buat entry ni nak bagitau kepada para pembaca blog ini, saya bukan malas semata2 nak update entry. Point2 di atas tu adakalanya muncul tanpa diduga. Tapi malas tu point utama la. Hahaha. What to do. Insya Allah, akan cuba merajinkan jari jemari salleh ni untuk menulis. 

Aku perlukan catatan dalam blog ni bukan sekadar nak berkongsi, tapi untuk ingatan aku. Who knows, satu hari nanti catatan dalam blog ni la yang aku guna untuk remind something. Dah ada contoh pun baru2 ni. Bie tanya aku bila last tukar battery kereta. Aku mana la nak ingat semua benda2 tu kan. Then teringat aku ada buat entry lepas tukar battery kereta tu dulu. Sebab kebetulan masa tukar tu buat kat opis je, aku yang ngadap. Maka entry tu la yang aku refer nak tau bila aku tukar battery. Berguna jugak entry sampah aku itu!

Maka, marilah tingkatkan kerajinan untuk menulis!

*SAHM = Stay At Home Mom

Sekian..

Tuesday, April 23, 2013

SOHO : Small Office Home Office

Ding dong..

Hari ni nak cerita pasal opis di dalam rumah. Jangan tak tau, walaupun saya ini tiadalah apa2 keje opis pun nak dibuat kat rumah ni, tapi tetap nak setup satu tempat yang ala2 macam setting meja kat opis. Bukan apa, senang sket nak letak setempat laptop, alat tulis, surat2 hutang dan yang seumpama dengannya la. Tidaklah serabut sangat sepah2 sana sini. Walaupun ada jugak la yang sesat2 kat cabinet tv, kat atas akuarium, kat bilik tido. Tapi perlahan2 nanti akan organized jugak akhirnya, insya Allah!

Abaikan segala benda2 asing dalam gambar ini..

Rumah aku ni tak besar mana, bilik pun cuma ada 3. Dan dari 3 bilik tu, aku decide nak jadikan bilik paling kecik tu tempat menyimpan segala barang yang patut. Dalam ni la rak buku, dalam ni la segala beg2 travel, dalam ni la meja menulis dan dalam ni jugak la ada ampai kain untuk jemur kain waktu2 terdesak. Kira kita boleh panggil ini bilik serbaguna la. Insya Allah, plan dalam masa terdekat ni nak cat dan make it proper. Sebolehnya taknak la sampai nampak macam bilik stor.

Asal setup SOHO ni dulu sebenarnya untuk bie. Zaman tu bie memang selalu kena bawak balik keje ke rumah. Kadang2 dia kena mengadap laptop sampai kul 3-4 pagi. Tapi, sampai ke saat entry ini ditulis tak pernah walau sekali pun dia duduk dalam bilik ni buat keje. Tambah pulak dengan environment tempat keje baru yang takde istilah bawak keje balik rumah. Lagi la berhabuk meja ni ditinggalkan.

Alasan dia taknak duduk dalam ni masa mula2 dulu, sebab brokben meksis yang macam hampeh bila guna dalam bilik ni. Memangnya hampeh kat mana2 pun. Satu2nya sudut dalam rumah ni yang betul2 ok signal dia  ialah kat sliding door. Apa gile pun aku tak tau la. Rasa tertekan je bila surfing manjang la loading sampai stuck. Akhirnya bertukar kepada YES 4G. Ambik wifi device, jadi takdela masalah pasal signal.

Tapi still, lepas tu bie taknak pun buat keje dalam ni. Alasan yang paling canggih la aku rasa dia bagi, selagi takde kerusi yang best, takmo dok buat keje dalam bilik ni. Tapi bila pegi kedai ke apa, aku ajak beli kerusi asyik la tak berkenan. Bila dia berkenan, aku pulak tak baper berkenan dengan price tag dia. Huh, sampai ke sudah, 2 tahun dah setup meja ni.

Akhirnya minggu lepas, masa Hanan tido petang aku curi masa mengemas. Susun elok2 apa yang nak pakai, letak dalam position yang sepatutnya. Selama tak digunakan sebelum ni, memang jadi tempat melonggok barang. Sakit mata aku hari2 mengadap. Bie punya perangai, selagi dia tak rasa nak guna, selagi tu la dia biar. Jangan harap la dia nak ada inisiatif sendiri mengemas (sorry bie, ini fakta ye). Selalunya dia kemas bila mulut aku dah bising membebel2.

Projek seterusnya, nak kena kemas balik rak buku. Masa mula2 dulu elok je tersusun segala buku, novel, komik, file, album2, segala dokumen2 penting pun sini la duduk letaknya. Sebab tu aku tak suka kalau bersepah2. Sekarang dia dah start perlahan2 berserabut. Semua main letak je mana nak. Benda macam ni memang kena pantau. Once terbiar, dia akan jadi makin tambah serabut. Kang lama2 nak cari surat beranak pun tak jumpa. Tak ke payah nanti tu.

Rak buku ni pun salah satu reason bilik ni akan tertutup rapat pintunya bila ada orang datang atau ada majlis2 berkumpul ramai2. Lagi2 yang melibatkan budak2 kecik. Bukan apa, aku taknak rak buku tu kena kacau. Kalau setakat komik yang bersepah, aku pejam mata je. Tapi takut kalau tiba2 ada file penting yang hilang, dokumen penting yang diusik ke. Masa tu nak marah2 pun tak guna. Prevention is better than cure.

 
Ini gambar masa mula2 dulu. Skang? Hurmmm...

But, somehow kadang2 bila dah ramai takleh nak elak orang masuk bilik ni. Most of the time digunakan bila nak solat atau salin2 baju. Takkan nak sekat pulak kalau dah ruang lain memang tak available kan. Jadi solusi yang terlintas ialah nak pasang selak berkunci kat bahagian yang berpintu pada rak buku tu. Dokumen peribadi & fail2 penting better letak tempat tersorok. Better safe than sorry kan..

Jadi, pesanan kepada encik suami tercinta sekiranya anda terbaca nukilan ini. Cepat2 la kita kasi settle bilik ni & cat bilik Hanan tu ok. Bagi ceria sket situasi rumah ni. Boring gak ngadap hari2 kalau suram je. Dan nanti marilah pegi beli kerusi yang proper sket untuk letak sini. Sakit montot ini duduk lama2, dah la takleh sandar. Huhuhu. So not cool lah!

Sekian.

Monday, April 22, 2013

Demam

Ding dong..

Anakanda kesayangan demam. Sejak Khamis lepas Hanan demam on/ off. Khamis sepanjang hari dia demam, Jumaat petang dia ok. Tapi malam tadi dia demam semula, tiba2 bangun tido petang terus taknak makan pasta yang aku buat dari tengahari. Padahal masa lunch makan selera je, maknanya bukan la sebab pasta tu masam sangat ke apa kan. Tiba2 untuk dinner, dia refused benda yang sama aku bagi masa lunch. Siap sampai muntah2 bagai. Aduhai..

Tapi pagi ni sampai ke petang ni dia nampak macam ok, badan pun dah tak panas. Just takut dia akan demam balik masa tido malam nanti. Malam semalam panas sangat nak cecah 39 suhu badan. Tido pun taknak tepuk2 biasa, nak berpeluk tido atas dada. Sampai kul 5 pagi melayan. Nasib baik dia jenis demam badan je panas, tapi aktif macam biasa. Mulut bising je bila bukak mata bangun tido.

Kata orang tua2, demam nak meringankan badan pasal dah mula nak berjalan. In fact, dia memang dah mula nak berjalan. Bukan 2-3 tapak dah, tapi bertapak2. Kalau jalan berpimpin sebelah tangan, ok je dia boleh jalan jauh2. Entah la, kenapa mesti ringan2? Aku berat lebih 70kg ok je boleh jalan, hahaha. Takyah la ringan2 sangat sayang, awak tu memang dah semulajadi kecik. Biarlah berdaging sikit ye. Best sikit ibu nak gigit2.

 
Ibu, jangan la amik gambar Hanan, demam ni!!

Apapun, ibu doa yang baik2 je untuk anak ibu. Kalau dengan demam ni Hanan akan tambah bijak pandai, biarlah. Kata orang, demam menambah akal. Tapi kata doktor2 pulak, demam meningkatkan antibodi. Which is sangat normal untuk budak2 kecik. So, aku takmo risau2 sangat. Walaupun bila tengah malam dia merengek2 kecik dalam tido, buat aku tak boleh lena. Huhuhu. Ini la orang panggil naluri keibuan kot kan.

Hanan be a good girl la ok. Ibu janji, lepas Hanan sihat betul nanti, ibu nak ajak abah pegi zoo. Kita tengok gajah, monyet, harimau, singa, kerbau & badak yang real punya. Hanan mesti dah boring tengok yang dalam tv & buku je kan. Ibu promise!

Sekian, nanti rajin2 ibu tulis lagi..

Wednesday, March 20, 2013

Hari ini, setahun yang lepas..

Ding dong..

Hari ni, genap setahun umur anakanda kesayangan kami ini. Genap setahun jugak dia dalam jagaan aku. MY LITTLE ANGEL TURNING 1 TODAY! :-)


Alhamdulillah, cepatnya aku rasa masa yang berlalu. Dalam pada aku sibuk2 melayan dia kat rumah & menjaga dia siang malam, tanpa aku sedar dia makin besar, makin bijak, makin banyak akal, makin lincah. Dan yang paling penting, makin comel di mata aku. Itulah dia, permata hati kami nan satu ini, Hanan Zulaikha. Senyumnya penawar segala duka di hati aku.

Masih terbayang2 saat pertama aku dengar tangisan dia. Alahai, tangisan yang paling aku tunggu2 sejak lama dulu. Tangisan seorang bayi yang lahir dari rahimku. Hilang semua sakit yang aku tanggung berjam2 lamanya. Lupa terus aku pada payahnya aku berulang ke KKIA berulang2 kali sepanjang 8 bulan sebelum tu.

Terima kasih ya Allah, kau pinjamkan aku anak semanis ini. Insya Allah, akan aku asuh dia semampu dan sebaiknya. Ibu doakan yang baik2 saja untuk Hanan. Moga ibu jugak mampu jadi ibu yang paling manis untuk anakanda ibu ni. 


Nota kaki lapan: Bulan March memang bulan yang indah buat keluarga kecil kami ini.. :-D

Sekian.

Thursday, February 28, 2013

Bila duduk rumah, kadang tak sedar hari ni hari apa..

Ding dong

Semalam waktu dinner, borak2 dengan bie. Bie dah siap makan masa tu. Sebab lepas masak terus tidokan Hanan dulu, pasal dia dah start menggenyeh mata. Terpisat2 tanda dia dah ngantuk. Sebelum tuan puteri mengamuk, baiklah dayang bawak masuk beradu cepat2.

Borak punya borak, sekali bie sebut pasal apply cuti minggu depan. Aku boleh buat muka pelik tanya kenapa dia nak cuti minggu depan? "Next week kan kita dah nak pegi bercuti tu. Lupa ke?" Hahahaha, aku salah kira hari rupanya. Mati2 ingat lagi 2 minggu nak pegi. Nampak sangat la tak ambik pusing langsung pasal tarikh kan. Bercuti2 Malaysia je, tak jauh mana. 3 hari 2 malam.

On the spot masa tu datang risau. Apa pun tak prepare lagi. Tapi bie rilek je cakap, apa nak risau semua dah settlekan. Tapi tu part dia, part aku banyak lagi ni. Salah satunya bab makanan Hanan. Setiap kali nak berjalan, ini yang aku paling concern. Sebab sampai hari ni, aku still berjaya jaga solid food dia. Memang sebolehnya aku nak elak instant food, atleast sampai dia 2 tahun.

Kiranya ni perjalanan kali pertama yang jauh dan lebih 2 hari lepas Hanan dah start solid food. Masa pegi Padang-Bukittinggi hari tu tak kira, sebab masa tu Hanan menyusu je pun dah kenyang. Takde hal. Kali ni susu je dah tak boleh, dia dah makan 3 kali sehari. Siap kalau terlambat bagi makan, dia start membebel 'mamam, mamam, mamam'. Jadi nak taknak, kena jugak prepare untuk dia.

So concern utama aku, hotel ada fridge tak? Sebab masa pegi Bagan Lalang hari tu, bilik kitorang takde fridge. Aku dah memang siap2 bawak bekal Hanan masa tu. Bajet sampai2, check in terus masuk fridge. Sekali masuk bilik tengok takde pulak. Hampa. Nasib baik bilik MIL ada, boleh tumpang. Nasib baik jugak bawak slow cooker, boleh masak bubur dalam bilik.

Untuk kali ni, harap2 ada fridge la. Sebab aku nak bawak stok dah siap masak then sampai sana simpan je. Bila pagi2 nak keluar, panaskan and simpan dalam termos. Kalau boleh stok untuk sehari terus. Kalau tak boleh, tak kisah sangat. Hotel dengan tempat nak berjalan2 dekat je. Camnepun sebelah petang boleh balik hotel dulu sebelum pegi dinner.

 Bulan depan dah setahun ini budak.. :-)

Tapi kalau takde fridge, haruslah bawak slow cooker sekali. Paling senang, buat bubur yang tak payah pakai lauk basah. Ikan bilis, carrot, celeri. Settle. Nak sedap sket, bubuh kurma dah siap steam, lenyek2 dalam bubur. Makan la tu pagi, tengahari & malam sekali harung untuk 3 hari.
Ke patut aku angkut je slow cooker tu even ada fridge pun?

Nota kaki lapan: Tak susah sebenarnya nak jaga pemakanan baby ni. Yang penting hati kena cekal!

Friday, February 01, 2013

Kipas Udang, apasal ko mahal sangat gile!!!

Ding dong.. 

Ini ialah entry ketidakpuasan hati seorang pengguna yang boleh dikatakan tegar. Setia sangat walaupun hati selalu bagai dirobek2 je setiap kali membelinya.Kicap Cap Kipas Udang. Siapa tak kenal kan brand ni. Confirm la semua yang baca ni mesti tau punya jenama kicap yang amatlah femes sebab dia yang mula2 mengfemeskan kicap manis kat Malaysia ni. Rasanya la, sebab sebelum tu aku biasa dengar kicap masin je. Mana penah mak aku beli kicap yang rasa dia manis.

Adakah anda semua tau sekarang ni berapa agaknya harga sebotol kicap ini? Kalau tak silap aku, ini dah 3 kali dia naik harga sejak tahun lepas. Yang terbaru ni aku tengok masa beli barang dapur minggu lepas kat Giant. RM9.99. Ye, RM10 untuk kicap yang botol besar tu. Lebih 2 kali ganda harganya dari brand2 yang lain. Kedasyatan yang melampaui batas akal aku dah ni. Kat situ jugak keluar ayat dari mulut aku, "ini kicap ke emas? cepat benar ko naik harga mendadak2 gini?". Tersenyum sumbing salah sorang pekerja Giant yang ada sebelah aku masa tu.

Satu lagi kelaianan yang aku perasan kali ni bukan je pada harga dia, label pun dah ada benda berubah. Kalau dulu, kat label dia memang dah ada printed harga. Sekarang ni dah takde ok. Maknanya, kalau beli kicap ni kat pasar malam ke, kedai runcit aceh ke, kedai runcit Muniandy ke, jangan terperanjat la kalau depa charge RM11-RM12. Memang tak mustahil punya la. 

Jadi, disebabkan rasa tak puas hati yang mendalam. Aku dengan nekadnya mencari kicap jenama lain. Kali ni, aku tekad nak ubah terus list pembelian kicap aku. Yang sebenarnya, aku dah banyak kali cuba ubah. Tapi disebabkan tekak big boss yang takleh masuk ngan kicap lain, tu yang terpaksa jugak beli walaupun dari dulu lagi aku dah terkesan dengan kemahalan harga Kipas Udang ni. Asal aku tukar je jenama lain, mula la dia tunjukkan ketidaknikmatan waktu makan. Haih, sebagai isteri yang solehah, perut suami jadi keutamaan kan.

Antara langkah2 yang diambil masa nak racun fikiran big boss bahawa Kipas Udang haruslah dinyahkan dari list barang dapur ialah, aku kasi dia tau berapa harga terkini. Pastu siap ingatkan dia, ini sudah kali ketiga naik harga since tahun lepas. Sambil tu menceceh2 la pasal kicap lain pun harga tak sampai gitu, sedap je biasanya. Apa sangat yang membezakan diorang sampai harga jauh benar bezanya. 

Last sekali baru aku bagitau, kicap dah ditukar kepada jenama lain. Kipas Udang yang ada dalam petiais tu adalah yang terakhir. Sebelum bagitau ni pun, aku dah QC siap2 kicap yang baru tu. Mengikut lidah aku yang tak berapa pakar ni, sama je rasa dia. TAKDE BEZA! Malam tu jugak aku saja kasi big boss test makan dengan kicap brand baru tu. Jawapan dia positif. Tak tau la positif sebab dah kena torture dengan hujah2 aku ke apa. But I don't care! Tukar tetap tukar tak kira apa alasan sekali pun.

Dengan ini diumumkan, aku bakal jadi pengguna sos cili kicap Life. Ye, korang tak salah baca. Sekarang Life dah keluarkan kicap makan pulak. Sedap pun sedap. Sebelum ni, aku penah beli Tamin, Jalen. Tapi big boss tepis kaw2 punya. Terpaksa convert kicap tu jadi kicap goreng sayur etc. Kali ni mujur dia kata ok, kalau tak aku rasa aku kena start belajar buat kicap sendiri la pulak kot. Hahahahaha..

Kepada pengeluar brand Life ni. Be nice to me and the whole country okey! Jangan la nak naikkan harga sesuka hati. Takkan sampai kicap pun gomen kena tetapkan harga kawalan jugak kan. Jangan, kang aku bukak kilang kicap jugak kang, gigit jari semua (bajet macam kalau aku buat kicap, sedap giler la kot). Hahaha. I am happy sebab lepas ni takyah sakit2 hati setiap kali beli kicap.

 Sila jauhkan diri anda dari beliau2 di atas..

Sekian..

Nota kaki lapan: Kicap punya pasal boleh gaduh laki bini, jangan buat main!

Thursday, January 31, 2013

Sayang you banyak2 Sayang..

Petang tadi dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Tanjat saya tiba2 ada orang call bagitau nak delivery barang. Bila ditanya, rupanya dari kedai bunga. Winkkkkk.. senyum meleret ler saya. Sebab dah boleh agak apa benda nak dihantar tu. Surprised yang menjadi la jugak, walau dah terkantoi sebelum sampai kat tangan. Dah prosedur kena call receiver dulu, takleh la nak buat apa kan..

Terima kasih sayang. Walaupun dah terlepas harinya, still sanggup nak susah payah hantarkan bunga. Terlalu busy dengan keje minggu lepas, sampai tak sempat nak buat apa2. But dun worry bie, ayang faham situasi bie masa tu.

Love ya forever..

Sunday, January 27, 2013

Happy belated birthday, myself!

Ding dong..

It's 4:30 in the morning but I still wide awake! Demmit, imsomnia ke apa aku ni kan. Padah tak tido bila sampai waktu tido. Boleh bantai layan movie dengan bie sampai kul 3 pagi. Tapi dia dah selamat berdengkur, aku terkebil2 sorang2. Padan muka kan.

Alrite, berbalik pada tajuk utama. Bulan ni ialah bulan ketuaan aku. Dalam erti kata lain, umur aku menginjak lagi ke angka lain. Alhamdulillah, dipanjangkan umur sampai ke hari ini. Tahun terakhir bergelar 20an. Tahun depan dah naik paku jadi 3. Syukur! Umur cuma angka yang berganti saban tahun. Tapi kematangan yang kita peroleh dari angka tu la jadi kayu ukur sape diri kita ni.

Bukan pada mata manusia je, tapi lebihnya pada tuhan. Insaf, kurang sangat amalan aku sampai sekarang ni pun. I have to improve myself. Really must! Amat2!

The special day dah lepas pun, tanggal 22 yang lalu. Tiada apa yang istimewa sangat on the day. Bie tak dapat cuti dek kekangan urusan keje dia. Disebabkan aku dah tukar profession, maka tiada la sape2 menemani melainkan anakanda nan seorang. Thank you Hanan, walaupun Hanan belum paham apa2. Kami makan sama2 tengahari tu kat Secret Recipe lepas beli barang dapur.

Aman je sambut berdua, tapi... Tak sempat ibu habis makan, Hanan dah start konsert nyanyi lagu Yuna. Terpaksa ibu mengalah sebab terharu sangat. Maka ibu cepat2 makan dan terus rushing balik rumah. Mujur masa drive balik Hanan behave je dalam carseat sampai tertido.

Sempat tapau blueberry cheesecake, sebab nak makan choc indulgence tapi dah abis. Janji ada kek cukup la, baru sah birthday kan..

Malamnya, buat dinner ala western, semangat ni menggodek dapur walau sebenarnya tak pasti pun pukul baper bie balik. Sebab dia memang awal2 dah bagitau dia lambat dari biasa. Dalam pada hati berkecamuk sebab bie senyap dari petang takde khabar berita, aku gigihkan jugak bersilat kat dapur sambil layan kerenah Hanan yang terlebih manja malam tu. Berlari2 la kejap ke dapur kejap ke dalam bilik bila tiba2 Hanan bangu  dari tido merengek mintak peluk, mintak dodoi.

Dalam hati mengharap jugak bie sampai rumah sebelum pukul 12 malam. Finger crossed!!

Pukul 10 malam, baru dapat sms dari bie. "..... bla bla bla.. biarlah keje ni, nak balik jugak sekarang jumpa ayang.." . Terus dalam hati ada taman. Mula asal muka keroh tadi, terus senyum simpul. Thanks sayang, you always know how I feel kan. Even takde bagitau pun. Mistik betul!

Lagi tambah mistik, dia balik dengan surprise 2 potong kek lagi. Owh, itu tak mistik sangat. Yang mistiknya ialah, dia bawak balik choc indulgence & blueberry cheesecake. See, dia tau je apa yang aku selerakan siang tu. Pastu beli kek yang sama aku beli. Itulah namanya kuasa tuhan.

Makan dengan gembira 3 sekeluarga, Hanan pun bangun sebab nak join celebrate birthday ibu last2 kopek sebelum kul12 malam. Sedap giler walaupun masak main bedal je resipi. Padahal tak penah buat sebelum ni. Haruslah puji masakan sendiri kan.

End of birthday-day story.

Tapi haruslah tiap2 tahun akan over celebrate kan. Khamis masa cuti maulidul rasul potong kek kat rumah mak pulak. My dear sister tengah angin rajin buat kek. Setiap kali birthday family members akan ada homemade cake! Since last year lagi. Memang tak lama lagi bungkus la kedai kek kat Semenyih tu. Pesaing hebat tengah training, tak lama lagi khatam perguruan bersama konco2nya. Thanks akak! Sedap lagi menyedapi.

Tadi pulak celebrate dengan family kecik aku ni, lagi sekali. I memang over, attention seeker betul. Hubby tersayang bawak jalan2 dan lunch kat Midvalley. Rasanya penutup la tu kot. Takleh terover sangat sampai tak sedar diri, haha. Tapi sayang, if you read this, nak jugak kad. Tak kira! Takde hadiah takpe, tapi kad tu wajib..

Akhir kata, terima kasih untuk semua yang wish. Dalam fb ke, sms ke, face to face ke. Saya sangat hargai ingatan anda semua. Insya Allah, tahun depan kalau panjang umur sambut lagi dan wish la lagi.. :-)

Ok, nak tido. Esok nak layan pantai pulak. Jauh giler ni, berjam2 perjalanan. Huih, konfem penat esok bila sampai................

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Bagan Lalang, Sepang! :-P

*Entry dari Tab. Maka tiada gambar diselit. Harap maklum..*

Sekian..


Thursday, January 10, 2013

Psst, hello world!

Ding dong..

Nak bagitau ni, aku dah dapat balik lappy tersayang yayang2 aku ni. Encik abe dah pulangkan semula pasal dia dah dapat laptop kampeni. Ternyata, blogging dari lappy adalah lebih syok berbanding dengan Tebi2 itu. Eceh, skang tiba2 pulak la kan cakap tak best. Tu hari masa mula2 dapat, kemain eksaited. Terus pandang si budak lappy ni sebelah mata je. Dasarrrrrr..

Oklah, I have so much things to update sebenarnya. Tunggu sampai masa yang sesuai nanti..

Till my next post.. Bye bye bye..





-END-
Related Posts with Thumbnails